Kebangkitan Cao Cao Tiga Kerajaan

Pada tahun 191, terdapat perbualan antara hulubalang-hulubalang campuran untuk melantik Liu Yu, salah seorang saudara diraja, sebagai Maharaja, akan tetapi pihak-pihak tersebut kemudian mula bergaduh. Kebanyakan hulubalang dalam campuran itu cuba mempergunakan keadaan ketakstabilan untuk memperluas kuasa ketenteraan masing-masing, berbanding dengan benar-benar mengingini pemulihan kuasa Dinasti Han. Empayar Han dibahagikan antara sebilangan hulubalang daerah:

  • Yuan Shao menduduki kawasan utara Ye dan melalui muslihat serta ugutan, mengambil alih kawasan orang atasannya, Han Fu, di sebelah utara Sungai Kuning, manakala Gongsun Zan menduduki kawasan sempadan utara.
  • Cao Cao yang berada betul-betul di selatan Yuan Shao, melawan Yuan Shu dan Liu Biao yang masing-masing menduduki kawasan-kawasan lembangan Sungai Huai dan Yangzi Pertengahan.
  • Lebih jauh di selatan, Sun Ce, hulubalang muda, yang mengambil alih selepas kematian Sun Jian yang tiba-tiba, sedang mengasaskan pemerintahannya di Yangzi Bawah, walaupun sebagai seorang bawahan kepada Yuan Shu.
  • Di barat, Liu Zhang menaklukkan provinsi Yizhou, manakala Hanzhong dan kawasan-kawasan barat laut China dikuasai oleh berbagai-bagai hulubalang yang lebih kecil, seperti Ma Teng dari Xiliang (kubu asal Dong Zhuo).

Dong Zhuo yang terlalu yakin akan kejayaan diri dibunuh oleh Lü Bu, anak angkatnya. Lü Bu yang kemudiannya diserang pula oleh Li Jue and Guo Si, kedua-duanya penyokong Dong Zhuo, melarikan diri ke kawasan Zhang Yang, salah seorang hulubalang utara. Beliau melindungi diri di sana buat tempoh yang singkat sebelum menyertai Yuan Shao, tetapi Lü Bu jelas terlalu berdikari untuk menjadi orang bawahan kepada sesiapa pun.

Pada Ogos 195, Maharaja Xian melarikan diri daripada kezaliman Li Jue di Chang'an dan membuat perjalanan yang berbahaya selama setahun ke arah timur untuk mencari-cari sokongan. Menjelang tahun 196 ketika baginda disambut oleh Cao Cao, kebanyakan pesaing yang lebih kecil telah diserap oleh kuasa-kuasa yang lebih besar ataupun dimusnahkan sama sekali. Xun Yu, penasihat utama Cao Cao, menasihatinya supaya menyokong Maharaja Xian yang merupakan maharaja yang sah kerana dengan berbuat demikian, beliau akan dapat menguasai hulubalang-hulubalang yang lain serta memaksa mereka mematuhi perintahnya atas nama pemulihan dinasti Han. Ini merupakan suatu langkah yang amat penting kepada Cao Cao.

Cao Cao yang kawasan penguasaannya merupakan perintis Kerajaan Wei mengerahkan seangkatan tentera pada musim sejuk tahun 189. Melalui beberapa pergerakan dan pertempuran yang strategik, beliau menguasai provinsi Dui dan menewaskan beberapa puak pemberontak Serban Kuning. Disebabkan oleh kejayaannya itu, beliau disertai oleh angkatan-angkatan tentera tempatan di bawah Zhang Miao dan Chen Gong dan dengan itu, buat pertama kali membentuk sebuah angkatan tentera yang benar-benar besar. Cao Cao meneruskan usahanya dan menyerap ke dalam tenteranya lebih kurang 300,000 ahli Serban Kuning serta sebilangan kumpulan tentera berasaskan suku kaum, khususnya di sebelah timur provinsi Qing. Pada tahun 196, beliau mengasaskan sebuah istana di Xuchang dan mengembangkan perkampungan-perkampungan pertanian ketenteraan (tuntian ) untuk membiayai tenteranya. Walaupun sistem itu mengenakan cukai yang berat (40% hingga 60% daripada hasil tanaman) ke atas petani-petani upahan, kesemua petani itu masih berasa gembira kerana dapat bekerja di bawah keadaan yang agak stabil pada masa yang huru-hara kerana diperlindungi oleh tentera yang profesional. Langkah ini kemudian dikatakan merupakan dasar utama Cao Cao yang kedua yang memberikan kejayaan kepadanya.

Pada tahun 194, Cao Cao bertempur dengan Tao Qian dari Xuzhou. Walaupun Tao Qian menerima bantuan daripada Liu Bei dan Gongsun Zan, angkatan tentera Cao Cao kelihatan akan menakluki seluruh kawasan Xuzhou. Nasibnya, Cao Cao berundur selepas menerima berita bahawa Lü Bu telah menawan provinsi Yan semasa ketiadaannya. Dengan itu, permusuhan antara Cao Cao dengan Tao Qian dihentikan buat sementara. Tao Qian maut pada tahun yang sama, dan meninggalkan provinsinya kepada Liu Bei. Setahun kemudian pada tahun 195, Cao Cao berjaya menyingkirkan Lü Bu dari Yan. Lü Bu melarikan diri ke Xuzhou dan diterima oleh Liu Bei, dengan sebuah perikatan yang tidak berapa teguh dimulakan.

Di selatan, Sun Ce, ketika itu seorang jeneral yang bebas di bawah perkhidmatan Yuan Shu, menewaskan para hulubalang dari Yangzhou, termasuk Liu Yao, Wang Lang, dan Yan Baihu. Kecepatan penaklukan-penaklukannya menyebabkannya diberikan nama samaran "Dipertuan Kecil" (小霸王), suatu rujukan kepada mendiang Xiang Yu. Pada tahun 197, Yuan Shu yang berselisih faham dengan Cao Cao, Yuan Shao, dan Liu Bei, berasa yakin akan kejayaannya kerana penaklukan-penaklukan orang bawahannya itu. Oleh itu, beliau mengisytiharkan diri sebagai maharaja Dinasti Cheng. Malangnya, langkah itu merupakan suatu kesilapan besar dari segi taktik kerana ia mengakibatkan kemarahan banyak hulubalang, termasuk juga Sun Ce, orang bawahan Yuan Shu, yang menasihatinya supaya tidak berbuat demikian. Cao Cao memerintah Sun Ce supaya menyerang Yuan Shu. Sun Ce mematuhi perintahnya, tetapi meyakinkan Cao Cao supaya membentuk sebuah tentera campuran terhadap Yuan Shu terlebih dahulu, dengan Liu Bei dan Lü Bu merupakan sekutu. Diserang dari semua arah, Yuan Shu ditewaskan dan melarikan diri.

Lü Bu akhirnya mengkhianati Liu Bei dan menawan Xuzhou, selepas mengikat perikatan dengan saki-baki tentera Yuan Shu. Liu Bei melarikan diri ke kawasan Cao Cao dan diterimanya. Tidak lama kemudian, persediaan dibuat untuk menyerang Lü Bu. Angkatan tentera gabungan Cao Cao dan Liu Bei mengepung kota Pizhou, dengan pegawai-pegawai Lü Bu meninggalkannya. Angkatan tentera Yuan Shu tidak dapat datang untuk membantu kerana Yuan Shu pada dirinya diikat oleh askar-askar sendiri dan dibunuh bersama-sama banyak pegawainya yang lain. Oleh itu, lelaki yang dikenali sebagai hulubalang teragung tidak ada lagi.

Pada tahun 200, Dong Cheng, seorang pegawai Istana Empayar, menerima edik sulit daripada Maharaja Xian untuk membunuh Cao Cao. Dong Cheng bekerjasama dengan Liu Bei dalam usaha ini tetapi tidak lama kemudian, Cao Cao mendapat tahu tentang komplot itu dan menghukum mati Dong Cheng serta subahat-subahatnya. Hanya Liu Bei dapat hidup dan melarikan diri ke kawasan Yuan Shao di utara.

Selepas menyelesaikan hal-ehwal dalaman dengan istana, serta mengatasi provinsi-provinsi yang berjiran, termasuk sebuah pemberontakan yang diketuai oleh bekas ahli-ahli Serban Kuning, Cao Cao mengalihkan perhatiannya ke arah Yuan Shao di utara yang telah membunuh pesaing utaranya, Gongsun Zan, pada tahun yang sama. Yuan Shao yang berasal daripada golongan bangsawan yang lebih tinggi daripada Cao Cao, mengumpulkan seangkatan tentera yang besar dan berkhemah di tebing utara Sungai Kuning.

Pada tahun 200, selepas memenangi sebuah pertempuran yang muktamad terhadap Liu Biao di Shaxian serta menghancurkan pemberontakan-pemberontakan Xu Gong dan orang-orang lain, Sun Ce dicederakan oleh sebatang anak panah dan mengalami cedera parah. Pada saat-saat menghadapi kematian, beliau menamakan adiknya, Sun Quan, sebagai pewaris.

Selepas berbulan-bulan merancang, Cao Cao dan Yuan Shao bertemu secara besar-besaran di Guandu. Mengatasi bilangan askar Yuan yang jauh lebih tinggi (bilangan sebenar berbeza-beza, tetapi kenyataan bahawa Yuan Shao mempunyai jauh lebih banyak askar telah diterima secara sejagat), Cao Cao menewaskannya dengan muktamad dengan membakar bekalannya dan dengan itu, melumpuhkan angkatan tentera utara. Banyak askar Yuan Shao dibunuh, tetapi Liu Bei dapat melarikan diri ke kawasan Liu Biao di provinsi Jing.

Pada tahun 202, Cao Cao mengambil kesempatan daripada kematian Yuan Shao serta perpecahan yang menyusul antara anak-anaknya untuk membuat kemaraan ke sebelah utara Sungai Kuning. Beliau menawan Ye pada tahun 204, dan menduduki provinsi-provinsi Ji, Bing, Qing, dan You. Menjelang akhir tahun 207, selepas sebuah serangan kilat terhadap puak gasar Wuhuan, Cao Cao mencapai keunggulan yang tidak dapat dipertikaikan di Dataran China Utara.